Asal Usul Nama TEMPAT Di Melaka
Setelah lapan hari bermastautin di Melaka, Parameswara terasa ingin keluar berburu lalu diarahkannya para pegawai istana sepasukan lapan orang menyediakan perkaskas dan dengan kenderaan berkuda mereka berangkat masuk ke hutan. Selang beberapa ketika meredah hutan tiba-tiba melintas seekor pelanduk putih. Lalu kenallah Parameswara akan pelanduk putih itu yang menendang anjing pemburunya tempohari lantas ditambatnya hingga ke tengah hutan.
Ketika sampai ke sebuah lubuk, Parameswara terserempak dengan rombongan Yap Ah Loy yang dalam perjalanan ke Kuala Lumpur. Maka segeralah Parameswara menjerit meminta Yap Ah Loy menghadang akan pelanduk putih yang sudah kelam kabut di tepi lubuk tersebut. Tetapi malang kerana pelanduk tersebut dengan pantas menendang Yap Ah Loy sehingga tercampak ke dalam lubuk. Maka diberi namalah oleh Parameswara akan lubuk di Melaka itu sebagai Lubuk Cina.
Kerana terlalu marah akan perbuatan pelanduk putih itu, Yap Ah Loy pun menyumpahnya menjadi kapal. Sehinggalah kini kapal tersebut ada di T.L.D.M. Melaka dan diberi nama K.D. Pelanduk.
Asal Usul MERLIMAU Melaka
Alkisahnya, setelah berjaya mengasaskan penempatan baru iaitu Chile, Parameswara dan sekalian hulubalangnya pun kembalilah ke Melaka. Memandangkan pilihanraya sudah hampir tiba, Parameswara amat berhasrat untuk melawat sekitar negeri Melaka untuk beramah mesra dengan sekalian hamba rakyat jelata di samping memancing undi.
Maka, bersama Bendahara dan beberapa orang pendekar dari Bukit Si Guntang, keluarlah baginda untuk melawat tanah jajahannya. Sebelum meneruskan perjalanan, mereka ke rumah tabib M. Yasin untuk mengajak beliau mengikuti rombongan Parameswara. Manalah tahu kalau ada rakyat jelata yang sakit boleh diubati. Ini sudah tentu akan menambah undi untuk Parameswara agar terus kekal sebagai Raja Melaka.
Dari hilir sungai, berakit-rakitlah mereka ke hulu. Di suatu kawasan di pertengahan jalan, mereka tercium bau yang amat wangi. “Dari mana bau wangi ini? Macam bau beribu-ribu lemo, wahai Memanda Bendahara?” “Nanti patik check dulu, Tuanku,” jawab Bendahara.
Dengan bantuan anjing perburuan, maka berjumpalah Bendahara akan sepohon pokok yang daunnya rimbun dan lebat buahnya serta bunganya. “Pokok spesis apa ni, Bendahara?”
“Patik tak tahu, Tuanku. Patik tak belajar subjek biologi masa kat sekolah dulu, ampun tuanku,” jawab Bendahara. “Apa pendapat kamu , wahai tabib M Yasin?” “Pada firasat dan ilham yang ada dalam diri patik ini, patik rasa ni pokok limau antu atau nama saintifiknya Atalantia spinosa, ampun Tuanku.” “Nama tu panjang sangat. Nanti tak glamour. Tak ada nama lain ke, tabib M. Yasin?” “Ada Tuanku. Orang kampung patik panggil pokok itu pokok Merlimau.” “Canteeek! Baiklah, Beta isytiharkan tempat ni sebagai Merlimau. Bendahara, sila catat nama kawasan ini dalam peta Melaka.” “Cheh.” Fikir Bendahara dalam hati.
Begitulah seterusnya dengan mudah Parameswara memberi nama tempat-tempat di Melaka. Setiap kali singgah di bawah pokok untuk berehat, di situlah juga dia menamakan nama tempat tersebut, termasuklah Bertam Ulu, Durian Tunggal, Ayer Keruh dan Bukit Cina. Setelah Parameswara mangkat, Bendahara pula menggantikannya dan menamakan sesuatu tempat mengikut tempat berehat. Sebahagian tempat itu terletak di Perak seperti Parit, Tanjung Rambutan, Lumut dan Batu Gajah.
Asal Usul PAHANG
Menurut buku yang ditulis oleh R.O. Windstedt nama Pahang pada mulanya ialah Inderapura. Pada suatu ketika Raja negeri Inderapura Makmur Shahbana ketika itu berhasrat menukar nama Inderapura Makmur Shahbana kepada suatu nama yang ringkas dan sedap di dengar. Beliau meminta Bendahara mencadangkan kepada rakyat jelata bahawa beliau akan memberi seuncang emas dan sepersalinan pakaian baru kepada sesiapa yang dapat memberi nama baru yang menarik. Beliau memberi tempoh selama tiga hari untuk orang ramai tampil ke istana mencuba nasib. Pada hari pertama tidak ramai yang datang ke istana. Kalau ada pun seorang dua. Raja Inderapura pula tidak berkenan. Masuk hari kedua jumlah yang datang berkali-kali ganda dari hari pertama namun semua tidak mendapat tempat di hati raja. Pada hari ke tiga datanglah dua orang sahabat karib ke istana ketika hari masih pagi benar. Ketika ditanya apakah nama yang hendak mereka berikan, kedua mereka berlumba-lumba bersuara. “Hamba cadangkan nama Karma Sari.” “Hamba pula cadangkan Margapura.” “Karma Sari lebih molek.”
“Molek lagi Margapura.” “Pilihlah Karma Sari!” “Margapura!” “Karma Sari!” “Margapura!” “Karma Sari molek!” “Molek lagi Margapura!”
“Tengkorak hang!”
“Opah hang!”
“Opah hang!”
“Sudah! Sudah!” Tiba-tiba raja Inderapura mencelah, “Dalam banyak-banyak nama yang kamu sebutkan tadi, Beta amat tertarik dengan nama yang terakhir kamu berdua berikan tadi, apa tadi… haaa? Opahang! Ya… opahang! Pahang sedap nama tu mulai hari ini beta namakan negeri ini dengan nama baru iaitu Pahang.”
Demikianlah kisahnya.
Asal Usul NEGERI SARAWAK
Suatu ketika dahulu, sebuah kawasan yang terletak di Asia Tenggara telah dijajah oleh penjajah. Adapun penjajah yang menjajah kawasan itu adalah dari golongan yang suka menjajah kerana kejayaan mereka hanyalah menjajah dan oleh sebab ituu mereka dikenali sebagai penjajah.
Di kawasan tersebut ada seorang apek yang berbangsa Cina dan bukannya bukan berbangsa Melayu atau India kerana gelaran itu hanya untuk orang Cina. Nama beliau ialah Lim Tat. Lim Tat dihormati dan dikenali oleh penduduk-penduduk di situ kerana beliau adalah seorang ahli fikir. Pada suatu ketika semasa beliau sedang berehat, maka terfikirlah dia tentang kawasan tersebut yang amat mudah dijajah oleh penjajah.
Lim Tat yang berpegang teguh dengan prinsipnya bahawa “batu dicincang takkan putus tetapi akan hancur” berpendapat bahawa kawasan itu mudah dijajah oleh penjajah adalah disebabkan sikap penduduknya yang tidak suka tolong-menolong.
Untuk menyedarkan penduduk di situ, Lim Tat telah memanggil semua penduduk untuk diberikan motivasi. Maka setelah berkumpul Lim Tat pun mengeluarkan pendapatnya.
“Hadilin sekelian. Adakah kamu semua tau kenapa kawasan ini amat mudah dijajah?” tanya Lim Tat kepada semua. “Kenapa?” tanya semua yang hadir. “Ini semua adalah disebabkan kelemahan dan kesalahan kita semua,” kata Lim Tat. “Apa lak salah kita. Ini semua salah penjajah le. Kalau mereka semua tak jadi penjajah maka penjajahan tak akan berlaku dan kawasan ini tak akan dijajah,” kata salah seorang yang hadir di situ. “Itu betul. Tapi kita semua tetap bersalah kerana tidak bersatu padu,” kata Lim Tat. “Apa lak macam tu. Booooo…!!” pekik suara yang hadir. Oleh kerana suara hadirin lebih kuat dari suaranya, maka Lim Tat dengan perasaan marah terus menjerit dengan menggunakan mikrofon,”Ini semua salah awak semua!”
“Awak la yang salah,” pekik hadirin.
“Salah… awak…!” Lim Tat menjerit seperti Tarzan.
“Salahh…awak…!” balas setiap yang hadir.
“SALAHHH… AWAKKK..!” Lim Tat menjerit dan hampir-hampir hendak menangis.
Selepas 93 tahun mempertahankan pendapat masing-masing sambil memekik “SALAH AWAK!” dengan nada yang kuat maka kawasan tersebut akhirnya diisytiharkan menjadi sebuah negeri yang dinamakan “salahawak”. Sehinggalah datangnya orang-orang Jepun yang berdagang di situ menyebut “Sarrawak” yang akhirnya dieja SARAWAK oleh penjajah Inggeris.
Asal Usul KINABALU
Pada tahun 1840an, sebelum Yap Ah Loy datang berdagang ke Kuala Lumpur, dia telah memerintahkan adik angkatnya yang bernama Lim Ah Tat pergi ke Timur Tanah Melayu bersama seorang rakan untuk survey terlebih dahulu. Mengikut perancangan awalnya, Lim Ah Tat disuruh membuka kedai membaiki motor di Brunei, tetapi tongkang yang dinaikinya pecah dan tersadai di Kudat. Di Kudat, Lim Ah Tat tidak putus asa. Dia meneruskan perjalanannya untuk ke Brunei jugak melalui jalan darat.
Setelah lapan bulan berjalan, maka sampailah Lim Ah Tat dan rakannya ke sebuah tempat yang lapang di kaki gunung. Semasa Lim Ah Tat baru hendak melelapkan matanya, tiba-tiba rakannya menjerit,”Wei…Blunai.. wa nampak Blunai!”
Lim Ah Tat tersentak dan terus berlari ke arah rakannya. “Mana? Mana?” Lim Ah Tat bertanya.
“Ni…” jawab rakannya sambil menunjuk lubang hidungnya sendiri.
Benganglah Lim Ah Tat. Dia pun mengutip anak batu dan baling ke arah rakannya itu tetapi tidak kena. “Aiya! Talak kinna!” Lim Ah Tat merungut.
Lapan hari lamanya Lim Ah Tat cuba membaling rakannya itu tetapi tidak kena sehinggalah pada satu petang rakannya itu memanjat gunung sehingga ke puncak. Lim Ah Tat mengikur dari belakang. Satu masa yang tepat, Lim Ah Tat membidik dan terus membaling sehingga kena ke kepala rakannya itu.
“Balu kinna! Balu kinna…” jerit Lim Ah Tat penuh gembira.
Sempena tarikh bersejarah itu, Lim Ah Tat pun menulis perkataan ‘balu kina balu kina balu kina’ di atas beberapa batu besar di puncak gunung itu dengan tujuan untuk menyakitkan hati kawannya, yang akhirnya dijumpai oleh arkeologis beberapa tahun kemudiannya. Mereka menyangka itu adalah tulisan orang purba yang bermastautin di puncak gunung. Lantas menamakan gunung tersebut sempena satu baris tulisan yang cuma boleh dibaca iaitu ‘kina balu’ kerana yang lain-lainnya telah hilang akibat hakisan.
Asal Usul NEGERI KEDAH
Kisah bermula apabila lima pemuda yang hensem-hensem dan bersopan-santun lagi merendah diri pergi merantau sambil makan angin. Kelima-lima pemuda tersebut berbuat begitu kerana ingin mencari kelainan di tempat orang. Setelah berminggu-minggu berjalan maka sampailah mereka ke satu tempat yang tiada berpenghuni.
Maka berkatalah pemuda satu, “Negeri apakah ini?” Keempat-empat kawannya menggeleng kepala. Lalu mereka berhenti untuk menghilangkan penat. Tiba-tiba pemuda dua mengadu perutnya memulas.
“Aku sakit perut!” Dengan tidak semena-mena kawannya yang lain turut juga mengalami sakit perut. Oleh kerana menghormati satu sama lain, mereka pun berbincang untuk membahagikan kawasan. Berpecahlah mereka kepada lima bahagian dengan membuat petak-petak sempadan. Mereka berjanji akan selalu bertanya antara satu sama lain setiap dua minit sekali kerana takut salah seorang dari mereka akan hilang. Maklumlah tempat itu teramat sunyi dan asing bagi mereka.
“Belum ke sudah?” tanya pemuda satu selepas dua minit.
“Belum!” jawab kawannya serentak. Begitulah seterusnya hinggalah masing-masing keletihan bertanya dan menjawab. Maka pertanyaan pun diringkaskan.
“Ke dah?” tanya seorang.
“Belum,” yang lain menjawab.
Akhirnya setelah berjam-jam bersoal jawab, maka perut mereka pun kembali pulih seperti biasa. Dalam keletihan untuk berjalan pulang, bertanyalah salah seorang dari mereka,
“Ke dah?”
“Dah“, jawab yang lain.
Kerana merasakan tempat itu tidak sesuai untuk mereka maka berjalanlah pulang kelima-lima pemuda itu balik ke negeri mereka semula. Selang beberapa bulan kemudian sepasang suami isteri sampai di situ pula. Tiada orang lain melainkan mereka berdua sahaja.
Mereka amat terkejut melihat satu tumbuhan subur dalam lima petak yang elok sempadannya. Kerana mahu mengambil buah-buah bewarna keemasan itu maka mengetamlah mereka. Oleh kerana tanaman itu subur maka letihlah suami isteri tersebut, ditambah pula dengan luasnya kawasan tanaman itu. Bertanyalah suami kepada isterinya, “Dah ke?” “Belum.”
Begitulah seterusnya sehingga selesai tiap-tiap satu petak tanaman itu. Bertanyalah lagi suami pada isterinya,”Dah ke?” “Dah.”
Dipercayai kerana saban tahun bertanya ‘dah ke’ dan dijawab pula ‘dah’ pada setiap kali mengetam maka resminya negeri tidak bernama itu dikenali dengan Kedah hingga sekarang. Petak- petak yang dipelopori oleh lima bersaudara itu juga dipercayai sebagai petak sawah sekarang. Padi yang menunduk itu juga dikatakan hasil dari badi lima bersaudara yang tinggi meninggi diri itu. Begitulah kononnya pun.
Asal Usul NEGERI TERENGGANU
Pulau Pinang mendapat namanya bersempena dari buah pinang. Terengganu juga sebenarnya mendapat nama dari sejenis buah. Mengikut batu bersurat yang ditemui di Kuala Ibai pada tahun 1612 Terengganu mendapat nama dari buah terung.
Kisahnya bermula apabila seorang pengembara bernama Awang Sulung Merah Jambu bersama pengikut- pengikutnya pergi merantau. Mereka datang dari sebuah kampung tidak bernama bersebelahan dengan negeri Melaka yang sudah wujud ketika itu. Tujuan mereka merantau tidak lain ialah untuk mencari kawasan yang subur dan boleh dibuka menjadi sebuah kampung baru mereka. Ini kerana tempat tinggal mereka yang lama sudah terlalu sesak dan tidak lagi selesa untuk didiami. Setelah dua bulan merantau Awang Sulung merasa gelisah kerana tempat yang mereka idam belum ditemui. Mereka akhirnya berhenti di suatu kawasan atas arahan Awang. Menyedari bekalan makanan mereka sudah kehabisan, Awang Sulung pergi mencari timbut kayu dan buah-buahan hutan yang boleh dimakan. Awang Sulong terperanjat apabila terjumpa sejenis buah bewarna ungu. Seumur hidupnya belum pernah dia melihat buah sedemikian rupa. Dia pun memanggil anak buahnya lalu bertanya,
“Tahukah kamu buah apakah ini?”
“Tahu… saya tahu!” kata Anjang Hitam, salah seorang pengikutnya yang setia.
“Apakah namanya?” tanya Awang Sulong lagi.
“Err… terung… terung… err.. terung…” jawab Anjang tergagap gagap. Anjang ingin menyebut terung ungu tetapi warna ungu begitu asing baginya krana itulah pertama dia melihat warna sebegitu. “Terung apa Anjang?” tanya Awang sekali lagi.
“Terung.. err, terung anu… terung anu…” jawab Anjang akhirnya.
“Apa? Terung anu? Ganjil betul nama itu. Tapi buah ini betul-betul menarik kerana ianya lain dari yang lain.”
Kerana tertarik dengan buah sebijik itu mereka sepakat membuka penempatan baru di situ dan sebulat suara menamakan tempat itu Terengganu. Perkataan Terengganu yang ada hari ini dipercayai berasal dari perkataan ‘terung anu’ tersebut. Ada juga sumber yang mengatakan bahawa ITM Dungun yang wujud hari ini dibina betul-betul di kawasan terjumpanya pokok terung tersebut.
Lawak Ujang : Din Beramboi